25 January 2013

“Sebagai orang Islam, aku tak nak masuk syurga…”


Kalaulah tiba-tiba ada orang cakap macam ni, ape yang akan anda lakukan?

“Nasihatkan dia…”
“Bagaimana?”

Beritahu dia, syurga merupakan tempat terbaik yang Allah sediakan untuk hamba-hambanya yang tunduk dan patuh dengannya. Lebih istimewanya, antara syarat utama nak masuk syurga anda mestilah seorang Muslim. Segala larangan yang Allah tetapkan di dunia ini boleh didapati sekiranya di syurga kelak. Di syurga ada sungai yang mengalir dimana sekiranya airnya diminum kita tidak akan pernah lagi berasa haus. Syurga Allah sangat hebat. Terlalu banyak nikmat yang tidak terjangkau dek akal. Segalanya ada di sana. Sekiranya kita berada di syurga, kita tidak akan menjadi tua. Tidakkah kamu mahukan itu semua? Jadi mengapa memilih untuk tidak mahu masuk syurga?

Mungkin kebanyakan daripada kita memilih untuk berkata sedemikian. Atau mungkin ada ayat yang lebih hebat lagi. Subhanallah. Ramai yang sangat prihatin kepada saudara sesama Islam. Contoh situasi lain ialah apabila melihat sahabat yang masih belum menutup aurat, mulut kita tangkas memberi nasihat. Bedilan nasihat yang cukup padu sentiasa bersedia untuk dilontarkan di mulut tersimpan kukuh di hati. Jari jemari pantas mengutuk insan yang mengupload gambar-gambar mereka yang belum menutup aurat di laman sesawang.

Tahniah! Anda insan yang sangat prihatin.

Tetapi, apakah kesilapan anda kerana mereka masih tidak berubah?

Sepatutnya beri kesempatan kepada insan tersebut untuk menghabiskan ayatnya. Atau mungkin tanyakan sebabnya mengapa sebagai seorang islam dia memilih untuk tidak masuk syurga?

Sebagai seorang islam, aku tak nak masuk syurga seorang diri. Aku mahu mengajak insan yang lain untuk turut serta bersamaku. Aku tak sanggup melangkah ke syurga sekiranya aku layak sambil menyaksikan insan di sekelilingku terseksa di neraka.

Subhanallah. Itu rupanya ayat sebenar yang ingin disampaikan. Tetapi atas dasar keprihatinan yang terlebih ramai memilih untuk memintas kata-katanya. Maka berlakulah persengketaan hati di antara kita. Makin menjauhlah insan-insan yang masih kurang ilmunya tentang Islam daripada Islam itu sendiri. Seharusnya, sekiranya kita benar-benar ambil berat soal sahabat kita, langkah terawal yang perlu diambil ialah bertanya.

"Nak tanya apa lagi? Dah jelas suruhan menutup aurat tu wajib. Nak cakap macam mana lagi?"

Benar. Adakala suruhan-suruhan yang wajib itu ditinggalkan dengan sewenang-wenangnya oleh mereka yang lalai. Walaubagaimanapun kita perlu bertanya.

"Kenapa awak tak solat sahabatku? Bukankah solat itu wajib?"

"Saya tahu. Tapi, saya tak tahu bagaimana nak solat. Sejak kecil saya tak pernah nampak ibu bapa saya bersolat. Saya juga tak tahu kenapa saya perlu menutup aurat. Sedangkan pakaian saya sekarang ni sudah cukup sopan pada pandangan saya. Ramai yang sering memarahi saya kerana tak solat dan tak menutup aurat. Tapi mereka tak pernah beritahu saya mengapa saya perlu lakukan semua itu? Mereka terus mengherdik dan mencaci maki saya tanpa usul periksa. Kalau mereka yang solat dan menutup aurat sendiri mengeluarkan kata-kata kesat sebegitu, buat ape saya ikut mereka?"

Astaghfirullah. Kerana tidak mengetahui hal yang sebenar kita telah menyebabkan insan seperti ini menjauh dari Allah.

"Oh…kalau begitu orang yang berceramah tu salahlah? Sebab tak tanya audien main bagi ceramah sahaja? Tak perlu lah kita post ajakan ke arah kebaikan di laman sesawang kerana kita hanya perlu bertanya sahaja? Begitu?"

Ceramah dan post-post ajakan ke arah kebaikan itu tak salah. Cuma caranya juga perlu diperbaiki dan diperhalusi. Sebabnya, ceramah dan post-post ajakan ke arah kebaikan itu juga boleh jadi peringatan kepada yang lupa. Cuma hal ini dikhususkan kepada insan terdekat seperti teman serumah, rakan sepejabat, kawan sekelas dan lain-lain. Pendekatan bertanya ini inshaallah lebih sesuai berbanding herdikan dan tohmahan yang dilontarkan secara bertubi-tubi itu.

"Saya kasihan melihat saudara seagama saya yang terjerumus ke kancah maksiat. Tersesat ke lembah perzinaan dan perlacuran. Bagaimana saya ingin bertanya mengapa mereka jadi begitu sekiranya saya ingin menjauhi tempat sebegitu?"

Alhamdulillah. Niat yang baik. Jangan kita lupa, doa merupakan senjata orang mukmin. Maka berdoalah. Kita memang tidak mampu melakukan banyak hal kerana kita hamba yang lemah. Maka berdoalah. Minta Allah kekuatan. Berdoalah juga agar Allah membuka pintu hati mereka. Berdoalah agar Allah memelihara kita agar tidak turut serta tersesat seperti yang lain. Berdoalah kerana Allah maha memberi. Berdoalah kerana Allah maha mendengar dan sangat memahami.

Sekian :D

*maaf sekiranya ada perkataan yang mengguris perasaan. Perbetulkan hamba Allah ini sekiranya ada kesilapan kerana manusia itu tidak lari dari melakukan kesilapan.



0 comments :

Post a Comment

*Bentang karpet merah*
~Teguran anda amat saya hargai,sebarang perkongsian atau pembetulan fakta amat dialu-alukan~
Terima kasih :D
SIlakan komen

Template by:

Free Blog Templates